ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM UKHWAH::::: SELAMAT DATANG KEPADA PENGUNJUNG-PENGUNJUNG BLOG INI. DIHARAPKAN APA YANG TERPAPAR DI DALAM RUANGAN INI DAPAT MEMBERI MANFAAT KEPADA KITA SEMUA ::::: TERIMA KASIH ATAS UNDIAN ANDA. WASALAM

HADITH HARI INI

Rabu, 30 Julai 2008

PERJALANAN ISTIMEWA ISRAK MIKRAJ

Oleh: Firdaus Moktar

27 Rejab mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj perjalanan Baginda dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin serta dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh.

Firman Allah bermaksud: "Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabidi negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)

Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia. Dalam peristiwa itu Rasulullah SAW diperlihatkan kekuasaan Allah serta balasan yang bakal diterima umatnya di akhirat nanti.

Firman Allah bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad SAW) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. "Penglihatan (Muhammad SAW) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah disitu yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." - (Surah an-Najm, ayat 13-18).

Antara pengajaran dalam peristiwa itu ialah mengenai wanita. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW turut melewati satu kawasan berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi. Lalu Baginda bertanya kepada Jibril kawasan itu apakah yang sedang mereka lalui. Jibril menjawab: "Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga." Beliau ialah adalah pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Masyitah berfizikal lemah, mempunyai semangat kuat dan jiwa keIslaman sehingga mampu menafikan keangkuhan Firaun. Masyitah ialah pelayan raja. Beliau adalah seorang rakyat yang masih sedar dan beriman kepada Allah tetapi disebabkan kekejaman Firaun, beliau dan ramai lagi terpaksa menyembunyikan keimanan mereka.

Pada suatu hari, ketika Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama Allah. Apabila puteri itu mendengar perkataan Allah, dia bertanya kepada Masyitah, siapakah Allah itu. Masyitah pada mulanya enggan menjawab tetapi selepas didesak berkali-kali, beliau akhirnya memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam. Puteri itu mengadu kepada Firaun mengenai perkara itu menyebabkan Firaun terlalu marah apabila mengetahui Masyitah menyembah tuhan selainnya. Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah." Perkataan itu menimbulkan kemarahan Firaun, lalu memerintahkan dibuat patung lembu daripada tembaga untuk diisi minyak bagi merebus Masyitah. Menteri Firaun, iaitu Hamman, salah seorang penghuni neraka, diperintahkan Firaun untuk membunuh Masyitah. Firaun memerintahkan patung lembu itu diletakkan di atas api sehingga panas menggelegak dan mengarahkan Masyitah dan ahli keluarganya dilontar seorang demi seorang.

Pada waktu giliran bayinya hendak dimasukkan ke dalam lembu itu untuk direbus, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kemahuan Firaun kerana terlalu sayangkan anaknya. Tetapi dengan kehendak Allah, berlaku kejadian luar biasa apabila bayi itu dengan fasih berkata: "Wahai ibuku! Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan) kebenaran." Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa. Lalu semuanya syahid dibunuh Firaun.

Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia melalui peristiwa Israk Mikraj. Semua ahli keluarga Masyitah mendapat balasan syuhada daripada Allah kerana mempertahankan akidah sehingga
mati.

Dalam perjalanan itu, Baginda turut diperlihatkan 10 jenis seksaan yang menimpa wanita yang membuatkan Rasulullah SAW menangis setiap kali mengenangkannya. Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain. Seksaan lain yang diperlihatkan Baginda ialah perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.

Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya. Ada pula perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.

Selain itu, Baginda melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain. Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta. Ada pula perempuan yang Baginda nampak rupanya berbentuk anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

Isnin, 28 Julai 2008











UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


Tuan Haji Mohd. Abd. Rashid Mohd Fadzil
Bendahari UKM,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Tuan,

MEMOHON SEMAKAN SEMULA YURAN PELAJAR

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk untuk makluman dan tindakan pihak tuan.

2. Berhubung dengan perkara di atas, saya mewakili suara mahasiswa/i UKM ingin memohon agar pihak tuan membuat penyemakan semula terhadap yuran pelajar seperti berikut :
2.1. Yuran Elektrik RM25 setiap pelajar
2.2. Yuran Khas Alumni RM50 setiap pelajar
2.3. Kenaikan Yuran Khas Aktiviti Kolej dari RM80 kepada RM100
2.4. Jumlah yuran bagi setiap kolej di UKM yang berbeza-beza

3. Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon agar pihak tuan :
3.1. Menjelaskan kemunasabahan penetapan Yuran Elektrik, Yuran Khas Alumni dan kenaikan Yuran Khas Aktiviti Kolej.
3.2. Menjelaskan perkhidmatan yang diperolehi oleh setiap mahasiswa/i daripada penetapan Yuran Khas Alumni dan Yuran Khas Aktiviti Kolej.
3.3. Menjelaskan perbezaan yuran bagi kolej-kolej di bawah pentadbiran UKM.

4. Justeru, sekiranya penetapan dan kenaikannya tidak munasabah, pihak kami menggesa agar yuran tersebut dihapuskan dan dikembalikan kepada mahasiswa/i. Segala pertimbangan dan perhatian segera oleh pihak tuan terhadap perkara ini bagi mengurangkan bebanan ekonomi mahasiswa/i amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.

“MENGILHAMKAN HARAPAN, MENCIPTA MASA DEPAN”

Yang menjalankan tugas,


………………………………………….
AHMAD FARHAN BIN JUSOH
Majlis Perwakilan Pelajar,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia

s.k. - Fail MPP Fakulti Pendidikan UKM
Naib Canselor UKM
Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kolej-kolej UKM

Jumaat, 25 Julai 2008

16 golongan yang Rugi

Oleh : Firdaus Moktar

Presiden ISIUKM

Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ

Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat.

Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah . Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :

  1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman :

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَناً قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ)[ آل عمران : 77

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya

  1. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

عن أبي مريم الأزدي رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (من ولي من أمور المسلمين شيئاً ،فاحتجب دون خلّتهم ،وحاجتهم ،وفقرهم، وفاقتهم، احتجب الله عنه يوم القيامة، دون خلّته ، وحاجته ، وفاقته، وفقره ) صحيح رواه أبو داود وصححه الألباني

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :

Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

  1. Orang Tua yang Berzina

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا ينظر إليهم ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ ، وملك كذّاب ، وعائل مستكبر ) أخرجه مسلم

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

Tiga orang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”

Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

  1. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)
  2. Orang miskin yang takabbur
  3. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.

في حديث ابي هريرة (……. ورجل منع فضل ماء ، فيقول الله : اليوم أمنعك فضلي ، كما منعت فضل مالم تعمل يداك

Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

  1. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan

وعن أبي هريرة - رضي الله تعالى عنه - قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: ( ‏ ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة، ولا ينظر إليهم، ولا يزكيهم، ولهم عذاب أليم: رجل على ‏ ‏فضل ‏ ‏ماء ‏ ‏بالفلاة، ‏ ‏يمنعه من ‏ ‏ابن السبيل، ‏‏ ورجل بايع رجلا بسلعة بعد العصر، فحلف له بالله لأخذها بكذا وكذا فصدقه، وهو على غير ذلك، ورجل بايع إماما لا يبايعه إلا للدنيا، فإن أعطاه منها وفى، وإن لم يعطه منها لم يف ) متفق عليه.

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda

”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ). Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya . Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)

  1. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii

  1. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال :قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث ) صحيح أخرجه أحمد والنسائي


10. Orang Lelaki yang Dayyus


Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marah

Apabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.

11.Pengamal Budaya Kaum Luth

عن ابن عباس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (لاينظر الله - تعالى- إلى رجل أتى رجلاً ، أو امرأة في الدّبر ) صحيح اخرجه الترمذي

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi

12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan .

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاثة : ( لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولايزكيهم ، ولهم عذاب أليم ) فقالها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار ، فقلت : خابوا وخسروا من هم يارسول الله قال: المنان والمنفق سلعته بالحلف والمسبل ازاره ) اخرجه مسلم


Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali. Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk-nunjukan kekayaan ).

Hadith di takhrijkan oleh Muslim


14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh atau

المسبل إزاره المختال في مشيته

Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.

15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم : المسبل إزاره ، والمنان ، والمنفق سلعته بالحلف الكاذب ) أخرجه مسلم في كتاب الإيمان

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :

Tiga orang Allah tidak ak an bertutur kata dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka dan untuk mereka disediakan azab yang sangat dahsyat… penjual yang melariskan barang jualannya dengan sumpah palsu.

16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( لاينظر الله إلى امرأة لاتشكر لزوجها وهي لاتستغني عنه ) صحيح أخرجه النسائي وصححه الالباني

Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”

Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Nasasii dan di anggap sahih oleh al Albani.

;;

MEDIA PLAYER


Template by: Abdul Munir - 99computercity