ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM UKHWAH::::: SELAMAT DATANG KEPADA PENGUNJUNG-PENGUNJUNG BLOG INI. DIHARAPKAN APA YANG TERPAPAR DI DALAM RUANGAN INI DAPAT MEMBERI MANFAAT KEPADA KITA SEMUA ::::: TERIMA KASIH ATAS UNDIAN ANDA. WASALAM

HADITH HARI INI

Sabtu, 3 Januari 2009

Surat Kepada NC

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,
Naib Canselor,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM Bangi,
Selangor Darul Ehsan.


Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr.,

KURSUS KEPIMPINAN BAKAL CALON MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UKM SESI 2008/2009

Dengan hormatnya saya merujuk kepada notis pemberitahuan berhubung perkara di atas yang telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan ditampal di sekitar kampus Bangi pada 17 November 2008 lalu.

2. Berhubung dengan perkara di atas, saya mewakili suara mahasiswa/i UKM ingin memohon budi bicara pihak Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. agar membatalkan Kursus Kepimpinan Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar atas alasan berikut :

1. Mengikut peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) (Perjalanan pemilihan dan panduan calon) yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti, tidak menyatakan sama sekali bahawa seseorang bakal calon perlu menghadiri kursus sebelum mereka layak menamakan diri sebagai calon. Penganjuran bengkel ini adalah tindakan mala fide dan ultra vires (perlakuan di luar bidang kuasa) serta salah disisi undang-undang pemilihan MPP.
2. Seksyen 52 Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (Pindaan 1998) telah memberikan panduan perjalanan pemilihan MPP yang sebenarnya dan perbuatan menganjurkan bengkel bakal calon ini adalah bercanggah dan tiada dalam peruntukkan seksyen undang-undang tertinggi UKM tersebut.

3. Peraturan 74 (Bahagian IX) Peraturan Pemilihan MPP (Panduan Calon) 2007/2008 telah menyatakan dengan jelas bahawa Jawatankuasa Pemilihan MPP (yang diketuai TNC HEPA) hendaklah mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak adil atau bertindak secara tidak jujur yang boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati atau kurang percaya pada perjalanan pemilihan MPP dan tindakan menganjurkan bengkel bakal calon ini sememangnya dipertikaikan oleh bakal calon serta dilihat bersifat actus reus (perbuatan salah di sisi undang-undang).
4. Notis yang ditampal pada 17 November 2008 lalu iaitu 4 hari sebelum mahasiswa/i UKM bercuti dan tarikh penghantaran borang sebelum 19 Disember 2008 iaitu ketika mahasiswa/i UKM masih bercuti adalah menyusahkan dan dilihat sebagai usaha menyekat mahasiswa/i daripada bertanding dalam pemilihan MPP.
5. Syarat “WAJIB” kehadiran bakal-bakal calon ke kursus ini merupakan satu syarat mutlak yang menafikan hak mahasiswa/i untuk bebas menjadi calon.
6. Kuasa budi bicara HEP untuk menolak permohonan mahasiswa/i yang ingin ke kursus tersebut secara automatiknya akan menutup ruang kepada mahasiswa/i tersebut untuk mendaftarkan diri semasa hari penamaan.
7. Penganjuran kursus tersebut memperlihatkan usaha pihak HEP menapis dan menghadkan calon-calon tertentu. Hal ini menafikan hak mahasiswa/i dalam memilih pemimpin pilihan mereka dalam Pemilihan MPP dan situasi ini perlu diambil tindakan bagi mengelakkan mahasiswa terjun dalam politik luar selepas melihat politik kampus tidak lagi sebagai satu medan pembelajaran demokrasi yang sebenar.
8. Memperlihatkan campurtangan HEP dalam soal Pemilihan MPP sedangkan HEP hanya bertanggungjawab untuk mengendalikan Pemilihan MPP bukan untuk mencaturkan pilihan yang dibuat oleh mahasiswa/i. MPP sewajarnya adalah pilihan mahasiswa/i kerana mereka bakal menyuarakan kebajikan mahasiswa/i kepada pihak pengurusan universiti.
9. Penganjuran bengkel ini dilihat ke arah untuk menjadikan pemilihan MPP seperti pemilihan JAKSA yang dipilih sendiri oleh pihak pentadbiran. Hal ini akan menghapuskan penyuburan demokrasi di kampus dan menimbulkan sikap anti-demokrasi kepada mahasiswa yang boleh membahayakan negara pada masa hadapan.
10. Menimbulkan suasana ketakutan (culture of fear) di kalangan mahasiswa/i yang ingin bertanding dalam pemilihan MPP kerana identiti mereka telah didedahkan lebih awal sebelum hari penamaan bermula. Pelbagai situasi yang berbentuk tekanan, amaran buang kolej dan ugutan boleh terjadi dalam tempoh tersebut.


3. Sehubungan dengan itu, pihak kami ingin mengemukakan cadangan agar Kursus Kepimpinan seumpama ini diadakan selepas berakhirnya pemilihan MPP atas alasan berikut :

1. Kursus ini dapat meningkatkan mutu kepimpinan dan pendedahan awal akan tanggungjawab serta cabaran dalam kemimpinan kepada MPP baru.
2. Kursus akan menjadi relevan kerana dapat fokus kepada sasaran iaitu MPP yang baru dipilih, bukan kepada bakal calon yang belum tentu berjaya terpilih menjadi MPP.
3. Dapat menjimatkan kewangan universiti dalam penganjuran kursus terbabit kerana sasaran hanya 34 ahli MPP, bukannya seluruh mahasiswa UKM yang layak menjadi calon (sekiranya mereka memohon untuk megikuti kursus bakal calon ini).

4. Pertimbangan dan perhatian segera oleh pihak Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. terhadap perkara ini amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

“MENGILHAMKAN HARAPAN, MENCIPTA MASA DEPAN”

Yang menjalankan tugas,


………………………………………….
AHMAD FARHAN BIN JUSOH
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (Caretaker MPP),
Universiti Kebangsaan Malaysia.

s.k. - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi)
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa)
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat)
Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia
Bendahari Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar

MEDIA PLAYER


Template by: Abdul Munir - 99computercity